Lafaz talak yang dilafazkan oleh Sham pada isterinya Wahida pada hari ini memadamkan segala memori indah yang ada dalam diri Wahida. Bagi Wahida dia akan melupakan nama Badrul Hisham dalam hidupnya buat selamanya. Dalam perjalanan pulang ke rumah Sham kemalangan. Kecederaan yang teruk dibahagian kepala membuatkan Sham koma. Setelah hampir sebulan koma, Sham terjaga dan mencari isterinya wahida. Ibu Hisham, Datin Embun agak terkejut kerana Sham seolah-olah tidak sedar yang dia telah menceraikan Wahida. Apatah lagi bila Sham bertanyakan tentang ayahnya yang telah meninggal setahun yang lepas.
Sham diberikan ubat penenang oleh Doktor setelah dia terlalu terkejut dengan keadaan dirinya yang tidak ingat apa-apa yang terjadi selama 3 tahun ini. Ibu Sham minta adik Sham, Husna agar merahsiakan kes perceraian abangnya dengan Wahida. Sham yang asyik mencari Wahida membuatkan ibunya resah. Sham diberitahu yang Wahida di hantar bertugas di Johor dan akan pulang pada esok hari.
Sham gembira melihat Wahida berada di hadapannya. Sham memuji-muji kecantikan Wahida yang dirasanya semakin cantik. Setiap pujian Sham disambut dengan senyuman tipis kerana bagi Wahida setiap pujian tersebut amat menyakitkan hatinya. Doktor akhirnya memberitahu yang Sham boleh pulang dalam beberapa hari lagi. Wahida lega kerana lakonannya akan berakhir tak lama lagi. Tetapi ibu Sham mula resah kerana segala penipuan mereka akan terbongkar dan ini mungkin akan membahayakan nyawa Sham.
Wahida dengan rasa benci masuk semula ke rumah Datin Embun. Bila pintu dibuka Wahida seperti terdengar-dengar suara Hisham menjerit memanggilnya , suara jeritan Wahida, suara tengisan Qistina dan bunyi pinggan dan cawan pecah. Rumah itu banyak mendatangkan kenangan pahit padanya.Wahida berjanji dengan Datin Embun akan meneruskan lakonannya tetapi hanya untuk sebulan. Selepas tempoh itu dia akan berterus terang dengan Sham tentang status mereka.
Sham minta maaf kerana cuba untuk melempang Wahida. Sham berjanji tak akan mengulangi perbuatannya. Tak mungkin dia akan berkasar dengan Wahida sedangkan dia cintakan Wahida. Di rumah Sham berbaik-baik dengan anaknya Qistina. Sham minta maaf kerana tak kenal Qistina. Dia janji akan cuba jadi bapa yang baik pada Qistina.
Sham dapat rasakan yang hubungannya dengan Wahida bermasalah. Sham tahu ibunya dan Husna merahsiakan sesuatu darinya. Sham mencari alamat tempat kerja Wahida dan dalam diam Hisham mengekori Wahida ke pejabat bersama pemandunya. Hisham terkejut bila tiba luar pejabat Wahida bila ternampak Wahida masuk ke pejabat bersama Johan. sham syak yang Wahida telah berhubung semula dengan Johan bekas tunangnya itu. Sham kecewa.